Sunday 1 April 2012

Peribahasa dan Puisi

Ceritera 21

Peribahasa

Menurut Za’ba (1965), peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa bahasa Melayu terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu perumpamaan, pepatah, bidalan, kiasan, kata-kata hikmat, simpulan bahasa dan perbilangan.

1.      Perumpamaan

- Perumpamaan ialah peribahasa yang menyatakan sesuatu makna atau tujuan dengan membandingkannya kepada sesuatu perkara atau kejadian lain. Perumpamaan tergolong dalam peribahasa berlapis, iaitu mengandungi makna tersurat dan tersirat. Terdapat dua bentuk perumpamaan, iaitu:-

a)      Menyatakan perbandingan secara jelas yang didahului oleh kata-kata perbandingan seperti bak, ibarat, bagai, seperti, laksana, macam dan umpama. Contohnya: bagai tikus jatuh ke beras, laksana katak diharung ular.

b)      Tidak menyatakan perbandingan secara jelas dan tidak didahului oleh kata perbandingan. Contohnya: diberi betis hendak paha, gunting dalam lipatan.

2.      Pepatah-Petitih

- Pepatah ialah rangkaian kata yang bersifat berkerat-kerat atau berpatah-patah dan mengandungi unsur pengajaran. Pepatah biasanya berkait dengan adat istiadat, undang-undang dan peraturan. Contoh pepatah ialah ada air adalah ikan; ada angin, ada pokoknya; berleher lembut, berlidah fasih.

3.      Bidalan

- Bidalan ialah peribahasa yang bersifat selapis dan mengandungi unsur nasihat serta ditandai oelh penggunaan kata biar, ingat dan jangan. Contohnya, jangan membawa resmi jagung, makin berisi makin tegak; biar lambat asalkan selamat; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

4.      Kiasan

- Bahasa kiasan ialah bahasa yang menyatakan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada perkara lain, sama ada menyebut bandingan atau tanpa menyebut perbandingan. Za’ba membahagikan bahasa kiasan kepada empat jenis, iaitu:

a)      Kiasan Asal – kiasan yang menerangkan sesuatu dengan menggunakan benda lain sebagai perbandingan. Contohnya, hancur bagai kaca jatuh ke kaca, merah macam biji saga.

b)      Kiasan Berpindah – kiasan yang tidak menggunakan kata-kata perbandingan dan kata yang hendak dibandingkan itu terus dicantumkan dengan benda yang dibuat perbandingan. Contohnya, mandi kerbau, kutu embun, datang adat.

c)      Kiasan Permanusiaan – kiasan yang memberikan sifat-sifat atau perlakuan yang dimiliki oleh manusia kepada objek yang tidak bernyawa. Contohnya, angin membelai-belai rambutnya.

d)      Kiasan Berkacau – kiasan yang dapat menimbulkan kekeliruan kerana mengandungi fakta yang bertentangan antara satu sama lain. Contohnya, nafsunya merentak-rentak seperti kuda hendak masuk belayar di dalam lautan cinta berahi.

       Kata-Kata Pujangga


  - Kata-kata pujangga ialah kata-kata hikmat atau perkataan orang bijak pandai yang mengandungi pengertian yang tinggi. Contohnya,

·         Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan.
·         Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.
6.      Simpulan Bahasa

- Simpulan bahasa ialah rangkaian kata yang telah tetap bersimpul dengan susunan yang khas. Bentuknya terdiri daripada dua patah kata dan makna berlapis. Contohnya, buah tangan, makan angin, muka tembok.

7.    Perbilangan

- Perbilangan ialah disusun berangkap-rangkap. Perbilangan lebih melihat aspek adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Misalnya,

·         bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muafakat.
·         Hati kuman sama dicecah,
Hati gajah sama dilapah.

Gurindam

- Gurindam ialah salah satu puisi Melayu lama dan dikatakan berasal dari perkataan India. Gurindam dibaca dengan lagu tersendiri dan berbeza dengan lagu syair. Puisi ini mempunyai kata-kata nasihat dan mempunyai rima akhir yang sama serta mempunyai soalan dan jawapan. Contohya,

Gurindam 12
                        Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
                        Itulah tanda hampir duka.

Apabila anak tidak dilatih,                 
Jika besar bapanya letih.
                       
Seloka


-Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris. Seloka ini boleh diiramakan atau tidak. Ciri-ciri seloka ialah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka dan mengkritik tingkah laku serta sifat negatif seseorang atau sekelompok masyarakat.  Contoh seloka,

Seloka Pak Kaduk

                        Aduhai malang Pak Kaduk,
                        Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.

Sekilas Kata:

Penggunaan peribahasa dan puisi-puisi tradisioanal ini mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita dahulu yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling.  Untuk menyampaikan nasihat, pengajaran dan teguan secara berlapik dan tidak menyentuh emosi seseorang, penggunaan peribahasa dan puisi-puisi ini biasanya digunakan kerana maknanya adalah bersifat tersirat.

No comments:

Post a Comment