Monday 23 April 2012

Kesantunan Berbahasa


Ceritera 31

Kesantunan dalam konteks yang lebih luas tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa sahaja, namun turut merujuk dalam aspek nonverbal, iaitu tingkah laku, mimik muka dan nada suara. Menurut Lakoff (1975), kesantunan ialah perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar berpendapat sesuatu penggunaan bahasa seharusnya tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja memfokuskan kepada latar sosio budaya masyarakatnya yang berpegang kepada adat resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti.

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Oleh itu, konsep kesantunan tidak lengkap sekiranya perbincangannya terhad kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keikhlasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. 

            Di samping itu, kesantunan berbahasa merujuk kepada cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan penuh sopan. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan kata ganti nama. Aspek kesantunan berbahasa merangkumi pemilihan kata yang sesuai dengan situasi, topik perbincangan dan jarak hubungan antara penutur dan pendengar. Aspek kesantunan berbahasa juga melihat aspek rendah atau lembut nada pertuturan, gerak laku dan gaya serta ragam seseorang.

Sekilas Kata:

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan adab daan tatasusilanya yang sopan. Oleh sebab itu, lahirnya pelbagai bahasa kiasan dan peribahasa yang bertujuan untuk menjaga adab ketika bertutur atau menegur. Nilai berbahasa sangat dititikberatkan oleh orang Melayu. Dengan itu, wujudlah pelbagai bentuk bahasa seperti bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu bijak menyesuaikan pertuturan dan bahasanya dalam pelbagai konteks. Orang yang santun ialah orang yang bijak meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.

1 comment:

  1. cuba masukkan kesantunan verbal dan non verbal dalam blog ni..

    ReplyDelete