Friday 1 June 2012

DAFTAR ISTILAH / KATA


DAFTAR ISTILAH / KATA

ISTILAH / KATA
MAKNA
sosiolinguistik
Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat.
Sosiologi
Kajian ilmu yang berkaitan dengan bentuk-bentuk tindakan manusia dalam masyarakat.
Linguistik
Ilmu pengetahuan yang mengkaji tentang bahasa.
Etnografi
Cabang antropologi yang berkaitan dengan pemerian saintifik tentang masyarakat manusia.
Dialek
Satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat.
Idiolek
Variasi bahasa seseorang.
Mikrolinguistik
Kajian tentang hubungan antara struktur linguistik dan struktur sosial pada paras interaksi bersemuka.
Makrolinguistik
Konsep makro lebih luas dan mempunyai kaitan dengan bidang lain seperti sosiologi, ekonomi, antroplogi, sains, politik dan berdasarkan bilangan kumpulan manusia.
Imperialisme
Penguasaan sebuah negara ke atas negara lain sama ada politik, ekonomi, ideologi, perdagangan dll.
Bahasa Inklusif
Bahasa yang ditempatkan atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada.
Bahasa Rasmi
Digunakan untuk urusan pentadbiran dan rasmi dalam sesebuah negara.
Lingua
Bahasa
Franca
Frank (sebuah negara di Eropah Barat suatu masa dahulu).
Bahasa Pijin
Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa.
Bahasa Kreol
Bahasa pijin yang telah menjadi bahasa pertama atau ibunda.
Bahasa Koine
Bahasa yang digunakan oleh semua orang dalam satu wilayah atau daerah.
Bahasa Eksklusif
Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu sama ada dalam kelompok sepekejaan, puak, subetnik dll.
Bahasa Arkaik
Bahasa kuno yang telah mati dan tidak berkembang lagi.
Bahasa Slanga
Satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya cepat berubah.
Bahasa Argot
Jargon yang khusus bersifat setempat  atau kumpulan sosial atau kumpulan sepekerjaan terutama sekali  dalam kalangan masyarakat kelas bawah.
Bahasa Rahsia
Bahasa yang digunakan untuk perisikan, pengedaran dadah dll.
Bahasa Baku
Bentuk bahasa yang telah dikodifikasikan, diterima oleh masyarakat dan berperanan sebagai contoh kepada komuniti bahasa yang lebih besar.
Bahasa Pasar
Bahasa basahan seharian untuk urusan seharian yang ada pada kebiasaannya wujud campuran unsur-unsur bahasa lain, iaitu dari segi kosa kata, sebutan dan ungkapan.
Bilingualisme
Seseorang yang mengetahui dan  menguasai dua bahasa.
Diglosia
Penggunaan dua bahasa yang berlainan atau dua kelainan bahasa yang satu tinggi, rasmi dan formal sedangkan yang satu lagi rendah, tidak rasmi dan basahan.
Pencampuran kod
Berlaku apabila seseorang menukar bahasanya secara berganti-ganti untuk satu topik yang sama.
Multilingualisme
Penggunaan banyak bahasa yang dituturkan oleh pelbagai etnik yang memilki bahasa sendiri.

Sunday 29 April 2012

Murtabak atau Martabak?

Ceritera 40


Apakah ejaan sebenar bagi makanan ini?





Murtabak atau Martabak?




Apakah jawapan anda?


Dalam entri terakhir saya, saya akan berkongsi sedikit maklumat yang saya peroleh mengenai kekeliruan ejaan sebenar gambar di atas. Selama ini saya menyangkakan ejaan murtabak adalah tepat, namun sangkaan iti meleset sama sekali kerana ejaan sebenar makanan itu ialah martabak. Saya percaya ad segelintir masyarakat kita tidak mengetahui tentang hal ini. Hal ini demikian kerana kita sering melihat ejaan murtabak ini di pasar minggu, dalam buku resepi, dalam majalah dan sebagainya sehingga kita menyangkakan ejaan tersebut adalah tepat. Saya juga percaya ada dalam kalangan kita yang tidak pernah menyemak ejaan tersebut dalam kamus kerana menyangkakan ejaan murtabak itu adalah tepat. Hasil semakan saya mengenai ejaan itu dalam kamus, tiada senarai perkataan bagi perkataan murtabak, yang ada hanyalah perkataan martabak. Martabak ialah sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cincang, telur, rempah, bawang dan sebagainya. (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 1000).

Sekilas Kata:

Walaupun isu yang dibincangkan ini kelihatan remeh, namun bagi seorang bakal guru bahasa Melayu, perkara ini harus diberi perhatian teliti agar kita tidak terus tersalah menyebut dan mengeja perkataan yang dianggap remeh tersebut. Oleh itu, kita haruslah peka dengan isu-isu sebegini agar perkara yang sama tidak akan berulang pada hari kelak.

Bahasa Pijin

Ceritera 39

Entri saya kali ini ialah mengenai bahasa Pijin. Apa bahasa Pijin? Saya sendiri mula-mula mendengar bahasa Pijin ketika mengikuti kursus Sosiolinguistik Melayu pada semester enam. Bahasa Pijin ialah bahasa yang bertindak sebagai bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bahasa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Misalnya, bahasa Pijin digunakan oleh para pedagang untuk saling bertukar barang dagangan mereka atau berjual beli. Bahasa Pijin juga dikenali sebagai bahasa pasar atau bazaar language di Malaysia.

Ciri-ciri bahasa pijin:-
  • Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak penutur.
  • Terbit daripada satu bahasa yang drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya.
  • Tidak digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal.
  • Mempunyai kosa kata yang terhad.

Faktor kemunculan bahasa pijin:-
  • Pertembungan kebudayaan    - melalui penjajahan (Pijin Hong Kong-Inggeris, Pijin Macao-Portugis).

        -  melalui perdagangan (di Malaysia-bahasa Baba dan Nyonya).
  • Pertembungan kelas               - golongan atasan dan bawahan di India, yang berkelas dan berkasta.
  • Pengembaraan                       - bahasa Pijin digunakan apabila keadaan tidak stabil.


Bahasa A + Bahasa B = Bahasa C (Bahasa Pijin)

Contoh perbualan antara peniaga berbangsa Cina dengan pembeli berbangsa Melayu:-

Siti: Tat Heng, buah limau ni berapa ringgit sekilo?
Tat Heng: Mulah saje akak. Sekilo lapan linggit.
Siti: Aiyaa tokey. Manyak mahal la lu jual. Kedai sane baru lima ringgit sekilo.
Tat Heng: Aiyaa amoi. Lu kalau mau mulah, pigilah itu kedai. Ini kedai buah manyak bagus punye dali kedai sane punye buah mey.
Siti: Tak pe lah Tat Heng. Aku pergi kedai sana jelah.

Sekilas Kata:

Bahasa Pijin sememangnya selalu digunakan di persekitaran kita. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahasa ini selalu digunakan kerana bahasa Pijin lebih dikenali sebagai bahasa pasar. Situasi di atas memaparkan perbualan antara Siti yang berbangsa Melayu dan Tat Heng yang berbangsa Cina ketika berurus niaga. Keadaan ini dapat dilihat Tat Heng bertutur dalam bahasa Melayu yang masih mempunyai loghat Cina. Begitu juga dengan Siti yang menyesuaikan bahasa tersebut dengan loghat Cina. Maka, terhasillah bahasa Pijin. Bahasa Pijin ini masih sesuai digunakan sekiranya kedua-dua pihak yang terlibat memahami perbualan tersebut dan penggunaan bahasa ini mestilah bukan dalam konteks majlis rasmi atau formal.

Sumber:

Pengajaran Makro


Ceritera 38

Pada tiga minggu lepas, pelajar untuk kursus Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran perlu membuat pengajaran makro. Pengajaran makro secara mudahnya ialah pendedahan awal tentang cara mengajar yang perlu dilakukan oleh semua bakal guru sebagai persediaan untuk mengajar di sekolah kelak. Sebagai bakal guru bahasa Melayu, kami telah dilatih oleh pensyarah kami, iaitu Encik Razali Ayob agar menggunakan bahasa yang betul semasa melakukan latihan pengajaran. Kami sering ditegur jika kami melakukan kesilapan berbahasa semasa proses pengajaran. Antara kesilapan berbahasa yang sering kali dilakukan oleh pelajar ialah penggunaan perkataan ‘kat’ (dekat), ‘nak’ (mahu, ingin), ‘ok’ (baiklah), rasa (pendapat) dan lain-lain. Pensyarah kursus ini melatih kami menggunakan perkataan yang betul dan menggunakan bahasa Melayu Tinggi ketika mengajar supaya kami dapat menggunakan bahasa yang betul ketika menjadi guru kelak. Beliau juga menegur pelajar yang sering menyelitkan unsur dialek ketika mengajar. Beliau melarang penggunaan dialek ini kerana penggunaan dialek tertentu yang tidak bersesuaian dengan sesuatu kawasan (sekolah)  akan menyebabkan pendengarnya (murid) sukar memahami perkara yang cuba disampaikan oleh guru. Masalah ini dapat diatasi jika tindakan awal sudah diambil.



Sekilas Kata:

Teguran ialah salah satu cara yang seharusnya dilakukan oleh masyarakat terutama melibatkan masalah pengunaan bahasa semasa berkomunikasi. Apabila teguran dibuat, seseorang itu akan dapat menyedari kesilapannya dan akan cuba mengubah kesilapan tersebut ke arah yang lebih terbaik. Namun, teguran itu mestilah secara berhemah, bukan menggunakan bahasa kasar. Teguran yang tidak berhemah akan menyebabkan orang yang ditegur akan terusik dan berisiko mengundang permasalahn yang lebih serius.

Kerenah Filem Tempatan


Ceritera 37

Kebelakangan ini, banyak filem yang diterbitkan mengandungi unsur yang tidak moral kepada penontonnya. Keadaan ini amat membimbangkan jika budaya tidak sihat ini menjadi ikutan kepada penontonnya terutama golongan remaja dan kanak-kanak. Saya pernah menonton sebuah filem karya seorang anak muda Melayu yang bertajuk ‘KL Drift’. Dalam filem ini, banyak aksi pergaduhan dan aksi berlumba kereta. Para pelakon menunjukkan aksi yang ganas dan kejam semasa bergaduh. Saya juga pernah menonton filem ‘Aku Masih Dara’. Hasil tontonan saya terhadap filem ini, filem ini tidak selayaknya ditayangkan kerana pelbagai gejala negatif dan sosial yang ditonjolkan dalam filem ini. Dalam filem ini adanya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hubungan terlarang, aksi berpelukan, cara berpakaian yang sangat keterlaluan dan sebagainya. Selain kedua-dua filem yang saya bincangkan sebentar tadi, banyak lagi filem yang sebegini yang ditayangkan di pawagam Malaysia, seperti filem 'Bohsia', 'KL Gangster', 'Impak Maksima' dan sebagainya. Walaupun kebanyakan filem yang ditayangkan untuk pengajaran kepada penonton, namun unsur-unsur negatif yang melampau ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada para penontonnya.







Sekilas Kata: 


Industri filem tempatan seharusnya mengambil berat terhadap masalah sosial yang melanda para remaja pada hari ini. Pihak industri perfileman seharusnya mengurangkan penayangan filem-filem yang mengandungi banyak unsur negatif walaupun pada akhir filem ada diserapkan unsur pengajaran dan keinsafan. Filem di Malaysia kini sudah tidak memaparkan sopan santun dan berbudi bahasa masyarakat sendiri. Jangan kerana terlalu mengejar keuntungan berjuta-juta, moral bangsa sendiri yang binasa.

Perancangan Bahasa Melayu

Ceritera 36

Perancangan bahasa ialah usaha untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan sesuatu bahasa ke arah bahasa moden. Usaha ini termasuklah membuat keputusan dasar tentang bahasa, menyeragamkan variasi bahasa  dan memupuk usaha pengembangan bahasa, meninjau semula hasil dan kesan aktiviti perancangan bahasa dan mengumpulkan data dan menyusun strategi untuk memajukan bahasa. Aktiviti-aktiviti perancangan bahasa Melayu merangkumi perancangan taraf, perancangan korpus bahasa dan perancangan strategi. (Goay Teck Chong et al., 2007: 51).
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2010: 22), perancangan bahasa ialah usaha-usaha yang dilaksanakan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju. Usaha-usaha ini lazimnya dijalankan oleh badan-badan khas pada peringkat negara. Badan perancang bahasa di Malaysia ialah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditubuhkan pada tahun 1956. Terdapat tiga peringkat perancangan bahasa. Peringkat pertama ialah peringkat membuat dasar tentang bahasa yang hendak dirancang termasuk bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan bahasa lain sekiranya ada. Peringkat kedua ialah pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun, iaitu proses pengekodan dan pemupukan. Peringkat ketiga ialah penilaian, iaitu peninjauan semula tehadap hasil dan kesan aktiviti perancangan untuk membantu perancangan selanjutnya dan membaiki kelemahan yang sedia ada.
Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian taraf kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat melambangkan unsur penyatuan dalam masyarakat Malaysia dan dapat mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berhubungan dengan dunia moden. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menyediakan ruang yang luas untuk berkembang dalam pelbagai bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan atau bahasa ilmu yang menyediakan ruang yang sangat uas untuk memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Bahasa moden ialah bahasa yang dapat mengungkapkan hal ehwal ilmu secara sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja dalam peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, namun bahasa juga berperanan dalam ilmu sains sosial, ilmu sains tabii dan ilmu dalam bidang teknikal. (http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html).
Perancangan korpus bahasa dimaknakan sebagai perancangan bahan bahasa.  Aktiviti perancangan bahasa melibatkan usaha menetapkan kosa kata, ejaan, istilah, tatabahasa dan sebutan yang menjadi bahan sesuatu bahasa. Umumnya, usaha ini melibatkan kerja-kerja pembinaan bahasa. Perancangan korpus bahasa terdiri daripada dua bahagian, iaitu pengekodan atau kodifikasi dan pemupukan. (Goay Teck Chong et al., 2007: 53).
Pengekodan didefinisikan sebagai penyeragaman bahan-bahan bahasa supaya menghasilkan suatu variasi bahasa baku atau bahasa standard yang sempurna dan seragam. Istilah lain untuk pengekodan termasuklah pembakuan, kodifikasi dan standardisasi bahasa. Pengekodan bahasa Melayu merangkumi pengekodan perkamusan, ejaan, peristilahan, tatabahasa dan sebutan.
Pemupukan merujuk usaha yang dilakukan untuk mengembangkan bahasa agar tercapai keadaan saling menterjemah dengan beberapa bahasa moden lain. Aktiviti pemupukan bahasa melibatkan penciptaan istilah, khususnya istilah-istilah dalam bidang ilmu tertentu seperti bidang sains, perubatan, undang-undang, ekonomi, komputer, teknologi maklumat dan lain-lain. Bahasa Melayu mampu memperkatakan pelbagai bidang ilmu dalam disiplin yang berbeza melalui pemupukan. Kesannya, jumlah laras bahasa Melayu akan meningkat dan membantu bahasa Melayu mencapai status bahasa moden. (Goay Teck Chong et al., 2007: 65).
Sekilas Kata:
Perancangan bahasa ini penting agar bahasa Melayu yang digunakan adalah seragam dalam pentadbiran, pendidikan dan sebagainya. Oleh itu, proses perancangan bahasa melibatkan banyak proses dan aspek agar keputusan yang dibuat adalah tepat.

Sumber :
Fariza Nurbaya (2007). Perancangan Bahasa. Diperolehi pada Mac 18, 2012 daripada  http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html.
Goay Teck Chong, Choo Say Tee dan Zainuddin Ahmad (2007). Teks Pra-U STPM Bahasa Melayu Kertas 1. Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sawi itu lobak?

Ceritera 35

Pada minggu lepas, saya bersembang-sembang kosong dengan dua rakan saya yang berasal dari Terengganu dan Kelantan. Saya juga berasal dari Terengganu. Ketika kami bersembang, sambil rakan saya memasak nasi goreng. Antara perbualan kami seperti berikut:-

Saya: Ayu, berapa ya ayu beli lobok tu? (Ayu,berapa ringgit kamu beli lobak itu?)
Ayu: Ore beli 2 ya. (Saya beli RM2)
Saya: Mahalnye..
Ayu : Mahal? (sambil memegang sayursawi)
Saya : Ye lah.. Mahallah kalu sawi 2 ya. (Ya, sayur sawi itu sangat mahal kalau harganya RM2)
Ayu : Awak tanye hok mane se?
Saya: Saye tanye hok ni. (sambil memegang lobak).
Ayu : Owh..Lobak tu ore panggil 'carrot', sawi tu ore panggil 'lobak'.
Saya: Aik, peliknya..hihi..

Sekilas Kata :

Secara ringkasnya,  bagi masyarakat Terengganu, lobak ialah lobak. Namun berbeza dengan sesetengah masyarakat Kelantan yang menganggap lobak itu ialah sawi dan lobak itu dipanggil ‘carrot’. Keadaan ini menunjukkan faktor perbezaan daerah menyebabkan sayur yang sama namun dipanggil dengan nama yang berbeza.




Saturday 28 April 2012

Lambatnya Lif Ni..

Ceritera 34






Setiap kali saya keluar dari rumah, saya perlu menggunakan lif untuk ke kampus, rumah rakan dan lain-lain. Kolej kediaman saya mempunyai tiga blok. Lif di blok 3 adalah paling perlahan pergerakannya berbanding lif di blok lain. Memandangkan saya tinggal di blok 3, maka terpaksalah saya mengharungi keadaan lif tersebut. Dua hari yang lepas, saya dan seorang rakan saya menaiki lif untuk pulang ke rumah masing-masing. Mungkin ingin menghilangkan perasaan bosan dan keletihan, kami pun berbual-bual di dalam lif.

Saya: Letihnya hari ni.
Rakan: Yelah , letih betul.
Saya: Lambat pulak lif ni bergerak.
Rakan: Yelah, berapa jam agaknya nak sampai ni.
Saya: Mungkin 24 jam kut. (sambil tersenyum).

Sekilas Kata:

Penggunaan ‘berapa jam’ yang digunakan oleh rakan saya itu tampak seperti kami ingin pergi ke suatu tempat yang jauh. Kata-kata yang digunakan itu sebenarnya suatu sindiran kepada lif yang lambat bergerak.  Keadaan lif yang perlahan dan panas kadangkala boleh membuatkan penggunanya berasa tidak sabar. Namun, kesabaran itu sebenarnya separuh iman. Jika keadaan lif ketika itu mengalami kerosakan pasti banyak perkara lagi yang timbul hanya disebabkan oleh sikap kita yang tidak sabar. Oleh itu, kita perlulah bersyukur dengan segala nikmat yang kita perolehi.

Wednesday 25 April 2012

Laskar Pelangi

Ceritera 33


Sebagai pelajar kursus Karya Agung Melayu, saya ditugaskan oleh pensyarah saya untuk menyiapkan tugasan individu. Tugasan itu memerlukan saya menganalisis sebuah filem Indonesi yang terhebat, iaitu 'Laskar Pelangi'. Jalinan cerita filem Laskar Pelangi sememangnya seindah nama filem ini. Jalinan cerita dalam filem ini sangat menarik walaupun teknik penceritaannya bersahaja. Filem ini mengisahkan pengorbanan dua orang guru yang sangat ikhlas dan komited dalam profesion mereka untuk mencurah ilmu kepada anak-anak murid mereka. Filem ini juga memaparkan kisah perjuangan 10 orang anak-anak murid SD Muhammadiyah yang keluarganya terdiri daripada golongan bawahan untuk menuntut ilmu. Falsafah-falsafah dan nilai-nilai yang baik sangat banyak dalam filem ini. Filem ini dapat menjadi contoh terbaik untuk filem-filem di arena perfileman kerana memaparkan unsur dan nilai yang sangat berguna kepada para penontonnya, tanpa memasukkan unsur-unsur sosial yang negatif. 







Sekilas Kata:

Saya berpendapat filem ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama golongan remaja. Hal ini demikian kerana filem ini memaparkan sikap menghargai ilmu pendidikan yang diterapkan pada jiwa remaja yang serba kekurangan. Bagi mereka, nilai ilmu sangat penting sebagai agen perubahan kehidupan mereka kelak. Saya sebagai bakal guru sangat kagum akan kesungguhan dan keikhlasan watak guru dalam filem ini dalam mencurah ilmu kepada pencinta ilmu. Saya akan menjadikan nilai-nilai ini sebagai motivasi kepada saya supaya menjadi guru yang cekal dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang bakal saya pikul di sekolah nanti. Secara ringkasnya, filem ini sememangnya hebat dan mampu menyentuh hati dengan sikap dan semangat pelaku dalam filem ini.

Tuesday 24 April 2012

Bahasa Arkaik

Ceritera 32


Bahasa arkaik ialah bahasa kuno yang sudah ketinggalan zaman dan sudah tidak lazim digunakan. (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 78). Bahasa arkaik juga dikenali sebagai bahasa kuno yang telah mati dan tidak dinamik lagi. Antara bahasa arkaik ialah bahasa Sanskrit, bahasa Jawa Kuno, bahasa Kawi dan bahasa Latin. Contoh bahasa arkaik ialah hatta, al-kisah, syahadan, sahibul hikayat dan sebagainya. Dalam Hikayat Seri Kelantan masih banyak mengandungi bahasa arkaik ini. Antaranya ialah:-
1.      sakar à rakyat jelata
Contoh petikan teks: “ ..perintahnya terlalulah adilnya serta ramai rakyat sakar Encik Siti”. (2004: 1).

2.      cetera à cerita
Contoh petikan teks: “Inilah suatu cetera hikayat zaman dahulu kala ada ceterakan oleh orang...”. (2004: 1).

3.      Alkisah à bermulanya cerita
Contoh petikan teks: “Alkisah, maka tersebutlah seorang raja di benua Siam”. (2004: 3)

4.      Sebermula à permulaan cerita
Contoh petikan teks: “Sebermula, maka tersebutlah kisah Tuan Puteri Sa’dung, tatkala berjumpa dengan Sultan Abdullah itu”. (2004: 12).

5.      Hatta à namun
Contoh petikan teks:  “Hatta, tiada berapa lama belayar, sekalian itu pun sampailah ke kuala...”. (2004: 9).

6.      menyatuk à bercakung atau bersila
Contoh petikan teks: “Lepas makan sahur, belum tidur lagi, tengah duduk menyatuk, lalu dibedil dua-dua sekali; kena kedua-dua peluru lalu mati”. (2004: 96).

Sekilas Kata:

Bahasa arkaik merupakan bahasa yang terawal yang terdapat di Tanah Melayu dan Nusantara. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa Melayu, kita harus mengetahui dan memahami bahasa-bahasa arkaik ini supaya bahasa ini sentiasa dilihat sebagai bahasa yang penuh bersejarah.





Monday 23 April 2012

Kesantunan Berbahasa


Ceritera 31

Kesantunan dalam konteks yang lebih luas tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa sahaja, namun turut merujuk dalam aspek nonverbal, iaitu tingkah laku, mimik muka dan nada suara. Menurut Lakoff (1975), kesantunan ialah perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar berpendapat sesuatu penggunaan bahasa seharusnya tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja memfokuskan kepada latar sosio budaya masyarakatnya yang berpegang kepada adat resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti.

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Oleh itu, konsep kesantunan tidak lengkap sekiranya perbincangannya terhad kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keikhlasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. 

            Di samping itu, kesantunan berbahasa merujuk kepada cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan penuh sopan. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan kata ganti nama. Aspek kesantunan berbahasa merangkumi pemilihan kata yang sesuai dengan situasi, topik perbincangan dan jarak hubungan antara penutur dan pendengar. Aspek kesantunan berbahasa juga melihat aspek rendah atau lembut nada pertuturan, gerak laku dan gaya serta ragam seseorang.

Sekilas Kata:

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan adab daan tatasusilanya yang sopan. Oleh sebab itu, lahirnya pelbagai bahasa kiasan dan peribahasa yang bertujuan untuk menjaga adab ketika bertutur atau menegur. Nilai berbahasa sangat dititikberatkan oleh orang Melayu. Dengan itu, wujudlah pelbagai bentuk bahasa seperti bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu bijak menyesuaikan pertuturan dan bahasanya dalam pelbagai konteks. Orang yang santun ialah orang yang bijak meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.