Sunday 29 April 2012

Kerenah Filem Tempatan


Ceritera 37

Kebelakangan ini, banyak filem yang diterbitkan mengandungi unsur yang tidak moral kepada penontonnya. Keadaan ini amat membimbangkan jika budaya tidak sihat ini menjadi ikutan kepada penontonnya terutama golongan remaja dan kanak-kanak. Saya pernah menonton sebuah filem karya seorang anak muda Melayu yang bertajuk ‘KL Drift’. Dalam filem ini, banyak aksi pergaduhan dan aksi berlumba kereta. Para pelakon menunjukkan aksi yang ganas dan kejam semasa bergaduh. Saya juga pernah menonton filem ‘Aku Masih Dara’. Hasil tontonan saya terhadap filem ini, filem ini tidak selayaknya ditayangkan kerana pelbagai gejala negatif dan sosial yang ditonjolkan dalam filem ini. Dalam filem ini adanya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hubungan terlarang, aksi berpelukan, cara berpakaian yang sangat keterlaluan dan sebagainya. Selain kedua-dua filem yang saya bincangkan sebentar tadi, banyak lagi filem yang sebegini yang ditayangkan di pawagam Malaysia, seperti filem 'Bohsia', 'KL Gangster', 'Impak Maksima' dan sebagainya. Walaupun kebanyakan filem yang ditayangkan untuk pengajaran kepada penonton, namun unsur-unsur negatif yang melampau ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada para penontonnya.







Sekilas Kata: 


Industri filem tempatan seharusnya mengambil berat terhadap masalah sosial yang melanda para remaja pada hari ini. Pihak industri perfileman seharusnya mengurangkan penayangan filem-filem yang mengandungi banyak unsur negatif walaupun pada akhir filem ada diserapkan unsur pengajaran dan keinsafan. Filem di Malaysia kini sudah tidak memaparkan sopan santun dan berbudi bahasa masyarakat sendiri. Jangan kerana terlalu mengejar keuntungan berjuta-juta, moral bangsa sendiri yang binasa.

No comments:

Post a Comment