Sunday 29 April 2012

Perancangan Bahasa Melayu

Ceritera 36

Perancangan bahasa ialah usaha untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan sesuatu bahasa ke arah bahasa moden. Usaha ini termasuklah membuat keputusan dasar tentang bahasa, menyeragamkan variasi bahasa  dan memupuk usaha pengembangan bahasa, meninjau semula hasil dan kesan aktiviti perancangan bahasa dan mengumpulkan data dan menyusun strategi untuk memajukan bahasa. Aktiviti-aktiviti perancangan bahasa Melayu merangkumi perancangan taraf, perancangan korpus bahasa dan perancangan strategi. (Goay Teck Chong et al., 2007: 51).
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2010: 22), perancangan bahasa ialah usaha-usaha yang dilaksanakan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju. Usaha-usaha ini lazimnya dijalankan oleh badan-badan khas pada peringkat negara. Badan perancang bahasa di Malaysia ialah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditubuhkan pada tahun 1956. Terdapat tiga peringkat perancangan bahasa. Peringkat pertama ialah peringkat membuat dasar tentang bahasa yang hendak dirancang termasuk bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan bahasa lain sekiranya ada. Peringkat kedua ialah pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun, iaitu proses pengekodan dan pemupukan. Peringkat ketiga ialah penilaian, iaitu peninjauan semula tehadap hasil dan kesan aktiviti perancangan untuk membantu perancangan selanjutnya dan membaiki kelemahan yang sedia ada.
Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian taraf kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat melambangkan unsur penyatuan dalam masyarakat Malaysia dan dapat mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berhubungan dengan dunia moden. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menyediakan ruang yang luas untuk berkembang dalam pelbagai bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan atau bahasa ilmu yang menyediakan ruang yang sangat uas untuk memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Bahasa moden ialah bahasa yang dapat mengungkapkan hal ehwal ilmu secara sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja dalam peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, namun bahasa juga berperanan dalam ilmu sains sosial, ilmu sains tabii dan ilmu dalam bidang teknikal. (http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html).
Perancangan korpus bahasa dimaknakan sebagai perancangan bahan bahasa.  Aktiviti perancangan bahasa melibatkan usaha menetapkan kosa kata, ejaan, istilah, tatabahasa dan sebutan yang menjadi bahan sesuatu bahasa. Umumnya, usaha ini melibatkan kerja-kerja pembinaan bahasa. Perancangan korpus bahasa terdiri daripada dua bahagian, iaitu pengekodan atau kodifikasi dan pemupukan. (Goay Teck Chong et al., 2007: 53).
Pengekodan didefinisikan sebagai penyeragaman bahan-bahan bahasa supaya menghasilkan suatu variasi bahasa baku atau bahasa standard yang sempurna dan seragam. Istilah lain untuk pengekodan termasuklah pembakuan, kodifikasi dan standardisasi bahasa. Pengekodan bahasa Melayu merangkumi pengekodan perkamusan, ejaan, peristilahan, tatabahasa dan sebutan.
Pemupukan merujuk usaha yang dilakukan untuk mengembangkan bahasa agar tercapai keadaan saling menterjemah dengan beberapa bahasa moden lain. Aktiviti pemupukan bahasa melibatkan penciptaan istilah, khususnya istilah-istilah dalam bidang ilmu tertentu seperti bidang sains, perubatan, undang-undang, ekonomi, komputer, teknologi maklumat dan lain-lain. Bahasa Melayu mampu memperkatakan pelbagai bidang ilmu dalam disiplin yang berbeza melalui pemupukan. Kesannya, jumlah laras bahasa Melayu akan meningkat dan membantu bahasa Melayu mencapai status bahasa moden. (Goay Teck Chong et al., 2007: 65).
Sekilas Kata:
Perancangan bahasa ini penting agar bahasa Melayu yang digunakan adalah seragam dalam pentadbiran, pendidikan dan sebagainya. Oleh itu, proses perancangan bahasa melibatkan banyak proses dan aspek agar keputusan yang dibuat adalah tepat.

Sumber :
Fariza Nurbaya (2007). Perancangan Bahasa. Diperolehi pada Mac 18, 2012 daripada  http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html.
Goay Teck Chong, Choo Say Tee dan Zainuddin Ahmad (2007). Teks Pra-U STPM Bahasa Melayu Kertas 1. Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment