Thursday 8 March 2012

Sopan dan Tertib


Ceritera 4

Baru-baru ini, pensyarah untuk kursus Pembinaan Modal Insan dalam kesusasteraan, iaitu Dr. Azhar Haji Wahid telah memberitahu tugasan kumpulan yang perlu kami selesaikan. Tugasan ini memerlukan satu kajian luar dari daerah Tanjung Malim. Kajian ini perlulah melihat aspek pembinaan modal insan dalam masyarakat. Oleh itu, saya dan tiga orang sahabat saya telah menjalankan satu kajian yang berkaitan dengan pembentukan modal dalam diri masyarakat di negeri Terengganu, iaitu di Asrama Darul Al-Falah yang menempatkan kanak-kanak yatim piatu. Tepat jam 1.30 petang, kami sampai ke destinasi kajian. Kami terkejut apabila beberapa penghuni perempuan di asrama itu meluru kepada kami lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Mereka juga mengucapkan salam dan selamat datang. Gaya perlakuan penghuni kecil ini yang berumur sekitar 7 hingga 10 tahun sangat murni. Pemakaian mereka juga sangat sopan dan menutup aurat. Selepas kami bersalaman, saya dan sahabat-sahabat saya bersolat secara berjemaah bersama-sama kesemua penghuni di situ. Solat ini telah diimamkan oleh pengetua asrama itu sendiri. Usai solat, kami mula menemu bual mereka. Gaya percakapan dan perkataan yang keluar dari mulut mereka sangat sopan dan tertib. Mereka sangat menghormati orang lain. Keadaan ini menunjukkan kanak-kanak yatim piatu ini masih ada kesopanan dan tertibnya apabila berhubung dengan seseorang walaupun mereka terdapat kekurangan dari segi kasih sayang dan perhatian.

Sekilas Kata:

Tertib dan sopannya butir bicara seseorang menggambarkan keperibadian insan tersebut. Perlakuan sopan dan menghormati orang lain ini sebenarnya bergantung kepada sikap dan akal fikiran yang akan menentukan tindakan atau perlakuan seseorang apabila bertindak. Akal yang sentiasa positif akan menghasilkan perlakuan yang postitif dan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment