Monday 19 March 2012

Bahasa Melayu di Sri Lanka


Ceritera 11

Sri Lanka terletak di bahagian selatan Tamil Naadu, iaitu di pesisir tenggara India. Terdapat kira-kira 46 ribu orang Melayu di Sri Lanka.Bahasa Melayu yang dituturkan di negara ini ialah bahasa Melayu Sri Lanka, iaitu sejenis bahasa kreol. Bahasa kreol ialah bahasa baharu yang berkembang akibat daripada hubungan lama antara dua atau lebih bahasa. Bahasa utama dan bahasa rasmi Sri Lanka ialah bahasa Singhala. Bahasa Inggeris juga digunakan terutama dalam industri pelancongan dan sektor perdagangan. Banyak perkataan Melayu kini sudah diserapkan ke dalam bahasa Singhala. Bahasa itu sebenarnya meminjam sebilangan besar perkataan daripada bahasa lain, termasuk bahasa Sanskrit, bahasa Tamil dan bahasa Melayu. Antara perkataan bahasa Melayu yang digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Sri Lanka ialah dodol, rambutn, durian, kaaka (kakak), kaavan (kawan), kuuve (kuih), baapa (bapa) dan maalu (malu). Sebutan perkataan tersebut agak berbeza daripada sebutan bakunya. Hal ini demikian kerana berlaku pengaruh bahasa tempatan. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu Sri Lanka kini diancam kepupusan dan telah mengalami kemerosotan sejak 200 tahun yang lalu. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu faktor perkahwinan, pendidikan dan sebagainya.

Sekilas Kata:

Bahasa Melayu masih wujud di Sri Lanka. Namun begitu, kehadirannya tergugat kerana sudah kurang orang yang mampu menuturkan bahasa Melayu ini. Kesannya, kedudukan bahasa Melayu di negara ini semakin tidak kukuh dan mengalami kemerosotan. Oleh itu, kerjasama serantau dengan negara yang menuturkan bahasa itu sangat diperlukan untuk mengatasi fenomena kepupusan ini. Dengan adanya kerjasama serantau dan penglibatan badan bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, dapatlah bahasa Melayu dipelihara di negara tersebut.

No comments:

Post a Comment