Ceritera 36
Perancangan bahasa ialah usaha
untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan sesuatu bahasa ke arah bahasa moden.
Usaha ini termasuklah membuat keputusan dasar tentang bahasa, menyeragamkan
variasi bahasa dan memupuk usaha
pengembangan bahasa, meninjau semula hasil dan kesan aktiviti perancangan
bahasa dan mengumpulkan data dan menyusun strategi untuk memajukan bahasa.
Aktiviti-aktiviti perancangan bahasa Melayu merangkumi perancangan taraf,
perancangan korpus bahasa dan perancangan strategi. (Goay Teck Chong et al., 2007: 51).
Menurut Nik
Safiah Karim et al. (2010: 22), perancangan bahasa ialah usaha-usaha yang
dilaksanakan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju. Usaha-usaha
ini lazimnya dijalankan oleh badan-badan khas pada peringkat negara. Badan
perancang bahasa di Malaysia ialah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditubuhkan
pada tahun 1956. Terdapat tiga peringkat perancangan bahasa. Peringkat pertama
ialah peringkat membuat dasar tentang bahasa yang hendak dirancang termasuk
bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan bahasa lain
sekiranya ada. Peringkat kedua ialah pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah
disusun, iaitu proses pengekodan dan pemupukan. Peringkat ketiga ialah
penilaian, iaitu peninjauan semula tehadap hasil dan kesan aktiviti perancangan
untuk membantu perancangan selanjutnya dan membaiki kelemahan yang sedia ada.
Perancangan
taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian taraf kepada bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan. Taraf bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dapat melambangkan unsur penyatuan dalam masyarakat
Malaysia dan dapat mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang
dapat berhubungan dengan dunia moden. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
menyediakan ruang yang luas untuk berkembang dalam pelbagai bidang profesional
seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Taraf
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan atau bahasa ilmu yang
menyediakan ruang yang sangat uas untuk memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa
moden. Bahasa moden ialah bahasa yang dapat mengungkapkan hal ehwal ilmu secara
sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja dalam peringkat sekolah
atau institusi pengajian tinggi, namun bahasa juga berperanan dalam ilmu sains
sosial, ilmu sains tabii dan ilmu dalam bidang teknikal. (http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html).
Perancangan
korpus bahasa dimaknakan sebagai perancangan bahan bahasa. Aktiviti perancangan bahasa melibatkan usaha
menetapkan kosa kata, ejaan, istilah, tatabahasa dan sebutan yang menjadi bahan
sesuatu bahasa. Umumnya, usaha ini melibatkan kerja-kerja pembinaan bahasa.
Perancangan korpus bahasa terdiri daripada dua bahagian, iaitu pengekodan atau
kodifikasi dan pemupukan. (Goay Teck Chong et
al., 2007: 53).
Pengekodan
didefinisikan sebagai penyeragaman bahan-bahan bahasa supaya menghasilkan suatu
variasi bahasa baku atau bahasa standard yang sempurna dan seragam. Istilah
lain untuk pengekodan termasuklah pembakuan, kodifikasi dan standardisasi
bahasa. Pengekodan bahasa Melayu merangkumi pengekodan perkamusan, ejaan,
peristilahan, tatabahasa dan sebutan.
Pemupukan
merujuk usaha yang dilakukan untuk mengembangkan bahasa agar tercapai keadaan
saling menterjemah dengan beberapa bahasa moden lain. Aktiviti pemupukan bahasa
melibatkan penciptaan istilah, khususnya istilah-istilah dalam bidang ilmu
tertentu seperti bidang sains, perubatan, undang-undang, ekonomi, komputer,
teknologi maklumat dan lain-lain. Bahasa Melayu mampu memperkatakan pelbagai
bidang ilmu dalam disiplin yang berbeza melalui pemupukan. Kesannya, jumlah
laras bahasa Melayu akan meningkat dan membantu bahasa Melayu mencapai status
bahasa moden. (Goay Teck Chong et al., 2007: 65).
Sekilas
Kata:
Perancangan
bahasa ini penting agar bahasa Melayu yang digunakan adalah seragam dalam
pentadbiran, pendidikan dan sebagainya. Oleh itu, proses perancangan bahasa
melibatkan banyak proses dan aspek agar keputusan yang dibuat adalah tepat.
Sumber
:
Fariza Nurbaya (2007). Perancangan Bahasa.
Diperolehi pada Mac 18, 2012 daripada http://bmstpm.blogspot.com/2007/06/perancangan-bahasa.html.
Goay
Teck Chong, Choo Say Tee dan Zainuddin Ahmad (2007). Teks Pra-U STPM Bahasa Melayu Kertas 1. Selangor: Pearson Malaysia
Sdn. Bhd.
Nik
Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment