Sunday, 29 April 2012

Pengajaran Makro


Ceritera 38

Pada tiga minggu lepas, pelajar untuk kursus Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran perlu membuat pengajaran makro. Pengajaran makro secara mudahnya ialah pendedahan awal tentang cara mengajar yang perlu dilakukan oleh semua bakal guru sebagai persediaan untuk mengajar di sekolah kelak. Sebagai bakal guru bahasa Melayu, kami telah dilatih oleh pensyarah kami, iaitu Encik Razali Ayob agar menggunakan bahasa yang betul semasa melakukan latihan pengajaran. Kami sering ditegur jika kami melakukan kesilapan berbahasa semasa proses pengajaran. Antara kesilapan berbahasa yang sering kali dilakukan oleh pelajar ialah penggunaan perkataan ‘kat’ (dekat), ‘nak’ (mahu, ingin), ‘ok’ (baiklah), rasa (pendapat) dan lain-lain. Pensyarah kursus ini melatih kami menggunakan perkataan yang betul dan menggunakan bahasa Melayu Tinggi ketika mengajar supaya kami dapat menggunakan bahasa yang betul ketika menjadi guru kelak. Beliau juga menegur pelajar yang sering menyelitkan unsur dialek ketika mengajar. Beliau melarang penggunaan dialek ini kerana penggunaan dialek tertentu yang tidak bersesuaian dengan sesuatu kawasan (sekolah)  akan menyebabkan pendengarnya (murid) sukar memahami perkara yang cuba disampaikan oleh guru. Masalah ini dapat diatasi jika tindakan awal sudah diambil.



Sekilas Kata:

Teguran ialah salah satu cara yang seharusnya dilakukan oleh masyarakat terutama melibatkan masalah pengunaan bahasa semasa berkomunikasi. Apabila teguran dibuat, seseorang itu akan dapat menyedari kesilapannya dan akan cuba mengubah kesilapan tersebut ke arah yang lebih terbaik. Namun, teguran itu mestilah secara berhemah, bukan menggunakan bahasa kasar. Teguran yang tidak berhemah akan menyebabkan orang yang ditegur akan terusik dan berisiko mengundang permasalahn yang lebih serius.

No comments:

Post a Comment