Saturday, 28 April 2012

Lambatnya Lif Ni..

Ceritera 34






Setiap kali saya keluar dari rumah, saya perlu menggunakan lif untuk ke kampus, rumah rakan dan lain-lain. Kolej kediaman saya mempunyai tiga blok. Lif di blok 3 adalah paling perlahan pergerakannya berbanding lif di blok lain. Memandangkan saya tinggal di blok 3, maka terpaksalah saya mengharungi keadaan lif tersebut. Dua hari yang lepas, saya dan seorang rakan saya menaiki lif untuk pulang ke rumah masing-masing. Mungkin ingin menghilangkan perasaan bosan dan keletihan, kami pun berbual-bual di dalam lif.

Saya: Letihnya hari ni.
Rakan: Yelah , letih betul.
Saya: Lambat pulak lif ni bergerak.
Rakan: Yelah, berapa jam agaknya nak sampai ni.
Saya: Mungkin 24 jam kut. (sambil tersenyum).

Sekilas Kata:

Penggunaan ‘berapa jam’ yang digunakan oleh rakan saya itu tampak seperti kami ingin pergi ke suatu tempat yang jauh. Kata-kata yang digunakan itu sebenarnya suatu sindiran kepada lif yang lambat bergerak.  Keadaan lif yang perlahan dan panas kadangkala boleh membuatkan penggunanya berasa tidak sabar. Namun, kesabaran itu sebenarnya separuh iman. Jika keadaan lif ketika itu mengalami kerosakan pasti banyak perkara lagi yang timbul hanya disebabkan oleh sikap kita yang tidak sabar. Oleh itu, kita perlulah bersyukur dengan segala nikmat yang kita perolehi.

Wednesday, 25 April 2012

Laskar Pelangi

Ceritera 33


Sebagai pelajar kursus Karya Agung Melayu, saya ditugaskan oleh pensyarah saya untuk menyiapkan tugasan individu. Tugasan itu memerlukan saya menganalisis sebuah filem Indonesi yang terhebat, iaitu 'Laskar Pelangi'. Jalinan cerita filem Laskar Pelangi sememangnya seindah nama filem ini. Jalinan cerita dalam filem ini sangat menarik walaupun teknik penceritaannya bersahaja. Filem ini mengisahkan pengorbanan dua orang guru yang sangat ikhlas dan komited dalam profesion mereka untuk mencurah ilmu kepada anak-anak murid mereka. Filem ini juga memaparkan kisah perjuangan 10 orang anak-anak murid SD Muhammadiyah yang keluarganya terdiri daripada golongan bawahan untuk menuntut ilmu. Falsafah-falsafah dan nilai-nilai yang baik sangat banyak dalam filem ini. Filem ini dapat menjadi contoh terbaik untuk filem-filem di arena perfileman kerana memaparkan unsur dan nilai yang sangat berguna kepada para penontonnya, tanpa memasukkan unsur-unsur sosial yang negatif. 







Sekilas Kata:

Saya berpendapat filem ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama golongan remaja. Hal ini demikian kerana filem ini memaparkan sikap menghargai ilmu pendidikan yang diterapkan pada jiwa remaja yang serba kekurangan. Bagi mereka, nilai ilmu sangat penting sebagai agen perubahan kehidupan mereka kelak. Saya sebagai bakal guru sangat kagum akan kesungguhan dan keikhlasan watak guru dalam filem ini dalam mencurah ilmu kepada pencinta ilmu. Saya akan menjadikan nilai-nilai ini sebagai motivasi kepada saya supaya menjadi guru yang cekal dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang bakal saya pikul di sekolah nanti. Secara ringkasnya, filem ini sememangnya hebat dan mampu menyentuh hati dengan sikap dan semangat pelaku dalam filem ini.

Tuesday, 24 April 2012

Bahasa Arkaik

Ceritera 32


Bahasa arkaik ialah bahasa kuno yang sudah ketinggalan zaman dan sudah tidak lazim digunakan. (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 78). Bahasa arkaik juga dikenali sebagai bahasa kuno yang telah mati dan tidak dinamik lagi. Antara bahasa arkaik ialah bahasa Sanskrit, bahasa Jawa Kuno, bahasa Kawi dan bahasa Latin. Contoh bahasa arkaik ialah hatta, al-kisah, syahadan, sahibul hikayat dan sebagainya. Dalam Hikayat Seri Kelantan masih banyak mengandungi bahasa arkaik ini. Antaranya ialah:-
1.      sakar à rakyat jelata
Contoh petikan teks: “ ..perintahnya terlalulah adilnya serta ramai rakyat sakar Encik Siti”. (2004: 1).

2.      cetera à cerita
Contoh petikan teks: “Inilah suatu cetera hikayat zaman dahulu kala ada ceterakan oleh orang...”. (2004: 1).

3.      Alkisah à bermulanya cerita
Contoh petikan teks: “Alkisah, maka tersebutlah seorang raja di benua Siam”. (2004: 3)

4.      Sebermula à permulaan cerita
Contoh petikan teks: “Sebermula, maka tersebutlah kisah Tuan Puteri Sa’dung, tatkala berjumpa dengan Sultan Abdullah itu”. (2004: 12).

5.      Hatta à namun
Contoh petikan teks:  “Hatta, tiada berapa lama belayar, sekalian itu pun sampailah ke kuala...”. (2004: 9).

6.      menyatuk à bercakung atau bersila
Contoh petikan teks: “Lepas makan sahur, belum tidur lagi, tengah duduk menyatuk, lalu dibedil dua-dua sekali; kena kedua-dua peluru lalu mati”. (2004: 96).

Sekilas Kata:

Bahasa arkaik merupakan bahasa yang terawal yang terdapat di Tanah Melayu dan Nusantara. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa Melayu, kita harus mengetahui dan memahami bahasa-bahasa arkaik ini supaya bahasa ini sentiasa dilihat sebagai bahasa yang penuh bersejarah.





Monday, 23 April 2012

Kesantunan Berbahasa


Ceritera 31

Kesantunan dalam konteks yang lebih luas tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa sahaja, namun turut merujuk dalam aspek nonverbal, iaitu tingkah laku, mimik muka dan nada suara. Menurut Lakoff (1975), kesantunan ialah perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar berpendapat sesuatu penggunaan bahasa seharusnya tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja memfokuskan kepada latar sosio budaya masyarakatnya yang berpegang kepada adat resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti.

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Oleh itu, konsep kesantunan tidak lengkap sekiranya perbincangannya terhad kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keikhlasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. 

            Di samping itu, kesantunan berbahasa merujuk kepada cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan penuh sopan. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan kata ganti nama. Aspek kesantunan berbahasa merangkumi pemilihan kata yang sesuai dengan situasi, topik perbincangan dan jarak hubungan antara penutur dan pendengar. Aspek kesantunan berbahasa juga melihat aspek rendah atau lembut nada pertuturan, gerak laku dan gaya serta ragam seseorang.

Sekilas Kata:

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan adab daan tatasusilanya yang sopan. Oleh sebab itu, lahirnya pelbagai bahasa kiasan dan peribahasa yang bertujuan untuk menjaga adab ketika bertutur atau menegur. Nilai berbahasa sangat dititikberatkan oleh orang Melayu. Dengan itu, wujudlah pelbagai bentuk bahasa seperti bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu bijak menyesuaikan pertuturan dan bahasanya dalam pelbagai konteks. Orang yang santun ialah orang yang bijak meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.

Friday, 20 April 2012

Bahasa Sumber Pinjaman (Bahasa Arab)

Ceritera 30

Pengaruh bahasa Arab meresap ke dalam bahasa Melayu dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada dua kemungkinan arah kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu, iaitu timur dan barat. Arah timur merujuk kepada China dan arah barat merujuk kepada Tanah Arab atau Parsi dan India. Pengaruh bahasa Arab lebih dominan berbanding pengaruh bahasa Sanskrit kerana bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran. Pengaruh bahasa Arab belaku dalam aspek tulisan, kosa kata, struktur ayat, sistem bunyi dan imbuhan.

Pengaruh bahasa Arab yang terpenting ialah terciptanya aksara Jawi. Sistem tulisan yang menggunakan aksara Jawi dikenali sebagai tulisan Jawi. Pengaruh kosa kata bahasa Arab dalam pembentukan kosa kata bahasa Melayu mengikut aspek tertentu, iaitu aspek agama, ilmu, perasaan dan fikiran, hukuman, adat dan benda dan kejadian.

Contoh aspek agama : baligh, hadis, doa, kiblat, mufti, wali, zakat dll.
Contoh aspek ilmu : ahli, falak, hikayat, hisab, kitab, tabib, takwim, tarikh dll.
Contoh aspek perasaan atau fikiran : akal, hajat, ikhlas, insaf, kabul, kalbu, nafsu, niat dll.
Contoh aspek hukuman : adil, batal, zalim, hakim, kadi, halal, haram, wajib dll.
Contoh aspek adat : akad, takziah, nikah, salam, sedekah, umat dll.
Contoh aspek benda dan kejadian : akhirat, roh, wajah, jubah, kopiah, kubah, insan, jasad dll.

Selain itu, pengaruh bahasa Arab juga berlaku dalam struktur ayat bahasa Melayu, iaitu menerusi penggunaan ayat songsang dan ayat pasif. Pengaruh bahasa Arab dalam sistem bunyi turut berlaku, iaitu dalam aspek bunyi sebutan. 

Contoh : /dh/ = dhaif, dharab, haidh.
             / dz/ = dzuhur, dzalim, lafadz.
             /f/     = fajar, fikir, arif.
             /gh/  = ghaib, loghat, maghrib.
             /kh/ = khasiat, akhbar, fasakh.
             /q/  = qadak, qadar, qunut, iqamat.
            /sy/ = syarat, syiar, asyik, masyarakat, nusyuz
            /th/ = thabit, bahath, hadith, mithal.
            /z/  = zikir, zuriat, bazir, majaz, mumaiyiz.

Bahasa Melayu hanya meminjam enam imbuhan akhiran bahasa Arab. Imbuhan-imbuhan tersebut ialah -ah (hajah, muslimah, qariah), -at (hadirat, mukminat), -i (abadi, amali, azali, insani), -iah (alamiah, islamiah), -in (hadirin, mukminin, muslimin) dan -wi (duniawi, maknawi).

Thursday, 19 April 2012

Bahasa Sumber Pinjaman (Bahasa Sanskrit)

Ceritera 29

Bahasa-bahasa asing yang menjadi sumber pinjaman bahasa Melayu ialah Sanskrit, Arab, Parsi, Jawa, Cina, Tamil, Portugis, Belanda dan Inggeris.

Pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu bermula pada zaman bahasa Melayu kuno, iaitu dari abad ke-7 hingga abad ke-13. Bahasa Sanskrit dibawa oleh pedagang India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu. Bahasa Sanskrit juga disebarkan oleh sami atau pendeta agama Hindu dan Buddha yang mengembangkan kedua-dua agama tersebut kepada penduduk tempatan. Pengaruh bahasa Sanskrit meresap ke dalam bahasa Melayu menerusi dua epik Hindu yang berjudul Ramayana dan Mahabharata. Pengaruh bahasa Sanskrit terhadap bahasa Melayu dapat dilihat dalam tiga aspek, iaitu kosa kata, imbuhan dan sistem bunyi.

Contoh kosa kata : bahasa, guru, sastera, siswa, cinta, duka, bahu, hasta, dewa, mahkota,, neraka,, asmara, bahaya, bumi, bayu, raksa dan sebagainya.

Contoh imbuhan awalan : eka- (tunggal), dwi- (dua), maha- (besar), pra- (sebelum), swa- (sendiri), tata- (cara), tuna- (tidak mempunyai). 
Contoh perkataan :  ekabahasa, dwibahasa, mahaguru, pramerdeka, swadaya, tatatertib, tunakarya.

Contoh imbuhan akhiran : -wan, -man, -wati, -nita.
Contoh perkataan : hartawan, seniman, seniwati, biduanita.

Contoh sistem bunyi : /dw/, /sw/, dan /sy/
Contoh perkataan : dwibulanan, swasta, syurga.


Tuesday, 17 April 2012

Bahasa Perpaduan

Ceritera 28

Bahasa perpaduan didefinisikan sebagai bahasa yang digunakan untuk menyatupadukan pelbagai kaum. Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa yang berbeza. Oleh itu, pihak kerajaan mengambil satu langkah yang tepat, iaitu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dapat mengeratkan hubungan antara semua kaum melalui satu bahasa ini. Hal ini terbukti dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Tujuannya adalah untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat yang bersifat heterogen. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan juga dapat dilihat dalam bidang pendidikan di Malaysia, iaitu melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan.