Thursday 29 March 2012

Bahasa Halus


Ceritera 20

Bahasa halus ialah bahasa yang beradat, bersopan santun dan berbudaya tinggi. Perkataan yang digunakan melambangkan kesopanan dan bernilai tinggi serta lengkap dengan sistem nahu. Bahasa halus juga menggunakan kata ganti nama yang sopan, nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan. Misalnya, penggunaan bahasa halus ayahanda, anakanda, bonda, adinda, nenda dan kakanda. Bahasa halus juga menggunakan bahasa kiasan dan peribahasa digunakan untuk menyatakan sesuatu secara berlapik. Contohnya:-

Bentuk Yang Kurang Manis
Kiasan Pemanis
mati
menghembuskan nafas terakhir
keluar darah haid
datang bulan
dikuburkan
dikebumikan
berak
ke sungai besar / buang air besar
mengandung
berbadan dua
isteri
orang rumah

Sekilas Kata:

Sesuatu penggunaan bahasa akan melambangkan identiti dan peribadi penuturnya. Sekiranya seseorang penutur menggunakan bahasa halus ketika berkomunikasi akan melambangkan peribadinya sebagai seorang yang sopan-santun, lemah-lembut, menghormati dan berperibadi yang mulia. Namun begitu, orang yang tidak menggunakan bahasa dengan halus akan memaparkan identiti diri yang sebaliknya. 

Bahasa Pasar


Ceritera 19

Bahasa pasar merupakan bahasa kacukan atau campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti India dan Cina. Variasi bahasa pasar tidak mempunyai penutur asli, iaitu tiada penutur yang menggunakannya sebagai bahasa ibunda. Bahasa ini dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Misalnya, penutur Cina menyebut perkataan mari sebagai mali, orang sebagai olang, sudah sebagai sutat dan sebagainya. Bahasa pasar biasanya berlaku dalam beberapa situasi, antaranya ialah orang bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu menuturkan bahasa Melayu; orang Melayu bertutur dengan orang bukan Melayu; dan orang bukan Melayu yang berlainan bangsa dan bahasa menuturkan bahasa Melayu.

Contoh ayat yang menggunakan bahasa pasar:-

Bahasa Pasar
Bahasa Baku
Sekalang gua punya mini sutat tatak mau nengar gua punya cakap.
Sekarang isteri / bini saya sudah tidak mahu mendengar kata-kata saya.
Itu worang makan kasi kalu banyak suka, kerja panggil kalu banyak malas.
Orang itu kalau diberi makan sangat suka tetapi kalau disuruh bekerja malas.
Itu budak curi saya punya dua arnab.
Budak itu mencuri dua ekor arnab saya.

Sekilas Kata:

Bahasa pasar ini sering terjadi dalam perbualan masyarakat bukan Melayu yang jarang menuturkan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa pasar ini dapat diatasi apabila penutur bukan Melayu belajar menyebut perkataan dengan sebutan bahasa baku dengan susunan ayat yang baik melalui bahan bacaan dan selalu berinteraksi dengan orang Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Wednesday 28 March 2012

Bahasa Basahan


Ceritera 18

Bahasa basahan ialah bahasa yang bersifat percakapan atau basahan atau bahasa kolokial. Za’ba mendefinisikan bahasa basahan sebagai bahasa cakap mulut. Bahasa ini tidak mementingkan peraturan bahasa. Hal yang dilihat lebih penting ialah kefahaman antara penutur dengan pendengar. Oleh itu, bahasa ini tidak digunakan dalam bentuk tulisan atau lisan, terutama dalam situasi formal atau rasmi. Bentuknya sering dipengaruhi oleh dialek dan slanga.

Contoh bahasa basahan ialah:-

Bahasa Melayu Baku
Bahasa Basahan
sedang
tengah
sahaja
saja
kamu semua
korang
kami
kitaorang
sudah
dah
mahu
nak
pada papan putih
dekat papan putih

Sekilas Kata:

Bahasa basahan ialah bahasa percakapan yang digunakan dalam perbualan seharian. Bahasa ini sedikit sebanyak mempengaruhi gaya penulisan kita. Penggunaan bahasa ini hendaklah dikurangkan kerana penggunaan bahasa Melayu tinggi perlu dititikberatkan terutama dalam majlis formal, ketika proses pengajaran dan pembelajaran atau kuliah, sesi pembentangan, dalam ucapan rasmi, status pendengar dan sebagainya.

Tuesday 27 March 2012

Bahasa Rojak

Ceritera 17

Bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang ada campurannya dengan bahasa lain. Misalnya, penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Pengguna bahasa rojak ini biasanya terdiri daripada golongan muda. Bahasa rojak ini biasanya digunakan dalam pertuturan. Pengguna bahasa rojak ini sebenarnya menampakkan peribadi mereka sebagai individu yang tidak mampu berbahasa dengan baik, sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Bahasa rojak ini sebenarnya sangat memberi kesan kepada status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Faktor penyumbang gejala penggunaan bahasa rojak disebabkan oleh golongan muda tidak lagi didedahkan dengan penulisan Bahasa Melayu formal atau aktiviti komunikasi di peringkat sekolah rendah dan menengah. 



Sekilas Kata:

Penggunaan bahasa rojak dalam masyarakat Malaysia harus diambil perhatian serius. Penggunaan bahasa rojak yang berleluasa akan menyebabkan krisis dalam pembelajaran bahasa sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Pengguna bahasa perlulah menggunakan satu bahasa sahaja secara sepenuhnya. Penggunaan bahasa asing yang mempunyai persamaan makna dengan bahasa ibunda mesti dielakkan bagi menjaga ketulenan sesuatu bahasa.

Monday 26 March 2012

Dialek Terengganu dan Bahasa Melayu Standard

Ceritera 16

Dalam dialek  Terengganu, terdapat beberapa jenis rasa iaitu seperti manis, masam, masin, pedas, kelat, pahit, payau, tawar dan lemak.Darjah kesangatan pada kata sifat tidak hanya didukung oleh pola-pola nahu yang ada tetapi juga oleh kolokasi dengan kata-kata yang lain dalam dialek Terengganu. Contohnya adalah seperti berikut:

Bahasa Melayu Standard
Dialek Kuala Terengganu
Transkripsi Fonetik
kelat
kelak
kelak sebak
[kəlaʔ]
[kəlaʔ səbaʔ]
tawar
tawo
tawo heber
[tawɔ]
[tawɔ hεbεr]
masin
masing
masing pekok
[mãsiŋ]
[mãsiŋ pəkɔʔ]
pahit
pahit
pahit lepang
[pahit]
[pahit ləpaŋ]
masam
mãsang
masang ghebang
[mãsaŋ]
[mãsaŋ ɣəbaŋ]
manis
manih
manih neting
[mãnih]
[mãnih nẽtiŋ]
pedas
pedah
pedah desing
[pədah]
[pədah dəsiŋ]
payau
paya
[paja]
lemak
lemok
[ləmɔʔ]
sedap
sedak
[sədaʔ]
khayal
kaya degang
[kaja dəgaŋ]

Antara penggunaan ayat yang menggunakan konsep rasa dalam dialek Terengganu ialah:-


i.                    Masang ghebang buoh pauh hok mok cik timoh bagi tadi.
[# mãsaŋ Ɣəbaŋ bu ̫ ɔh pauh hɔɁ mɔɁ čiɁ timɔh bagi tadi #]
ii.                  Pahit lepang rase ubat hok dokto bagi.
[# pahiɁ ləpaŋ rasə ɔbaɁ dɔɁtɔ bagi #]
iii.                Pedahnye kuoh tonyang kat keda pok loh.
[# pədahɲə ku ̫ oh tɔɲaŋ kat kəda pɔɁ lɔh #]


 Ayat pertama menerangkan buah pauh yang dikirimkan oleh mak cik Timah sungguh masam. Ayat kedua pula menerangkan ubat yang diberikan oleh doktor sungguh pahit dan ayat ketiga menerangkan tomyam di kedai Pak Lah sangat pedas.

Sekilas Kata:




Dialek  Terengganu merupakan salah satu daripada dialek-dialek di Semenanjung Malaysia yang unik dan mempunyai ciri-ciri tersendiri baik dari segi fonologi, morfologi, sintaksis dan leksikal. Ciri-ciri tersendiri dialek ini menyebabkan wujudnya perbezaan-perbezaan yang ketara dalam bidang sebutan, intonasi, kosa kata dan ayat antara dialek  Terengganu dengan bahasa Melayu baku.



Friday 23 March 2012

Promosi Jualan



Ceritera 15

Bermula 23 Mac 2012 hingga 25 Mac 2012, terdapat satu karnival di kolej kediaman saya. Baru sebentar tadi, saya dan kawan-kawan berkelapangan untuk memeriahkan gerai jualan yang terdapat sempena karnival ini. Semasa kami berjalan-jalan di sekitar gerai yang dibuka, pelbagai gaya dan daya tarikan yang digunakan oleh para penjual. Ada yang menulis kata-kata menarik pada kertas yang ditampal di gerai mereka, ada yang menjerit-jerit memanggil pengunjung, ada yang berpantun jenaka dan sebagainya. Namun, di sebalik kemeriahan ini, terdapat kesalahan bahasa yang dilakukan. Sebagai contoh:

Sekilas Kata:

Penggunaan bahasa pasar atau bahasa percakapan yang digunakan dalam pengiklanan adalah tidak sesuai. Huruf dalam perkataan tersebut juga tidak selari, iaitu ada yang berhuruf kecil dan ada yang berhuruf besar di tengah-tengah perkataan. Selain itu, perkataan-perkataan yang ditulis pada kertas itu juga terdapat kesalahannya seperti tanda ‘3x’ yang ingin menunjukkan perkataan ‘boleh’ itu berganda. Walaupun tujuan penjual untuk menarik perhatian pembeli, namun aspek bahasa ini tidak sepatutnya diabaikan. Hal ini akan mencemarkan bahasa itu sendiri. Dalam pengiklanan, laras bahasa yang digunakan adalah ringkas tapi masih mengekalkan tatatertib bahasa Melayu itu sendiri.

Wednesday 21 March 2012

Maju Teknologi Maju Bahasa


Ceritera 14

Bahasa dan alat teknologi mempunyai perkaitan kerana sejarah membuktikan sesuatu bahasa berjaya dikembangkan dan disebar luas melalui alat teknologi. Sesuatu alat teknologi memerlukan sesuatu bahasa untuk dimasyarakatkan. Bahasa Melayu telah tersebar secara meluas sejak abad ke-20 dengan menggunakan alat teknologi moden seperti alat percetakan untuk menghasilkan buku, majalah dan akhbar. Fenomena ini telah membantu untuk mengembangkan bahasa Melayu moden melalui penghasilan bahan bacaan tersebut. Dengan adanya alat teknologi ini, hasil bahan dapat diterbitkan dalam kuantiti yang besar. Penggunaan alat teknologi baharu dalam kalangan masyarakat berlaku secara drastik. Mereka sudah menggunakan komputer riba, iPAD, samsung galaxy tab dan sebagainya untuk mendapatkan sesuatu bahan. Kehadiran pelbagai alat teknologi moden ini dalam alam bahasa Melayu telah melahirkan kosa kata dan istilah baharu seperti internet, jalur lebar, tetikus dan muat turun. Kesannya, kelahiran teknologi ini dapat memperkaya kosa kata dan istilah dalam bahasa Melayu selaras dengan perkembangan teknologi moden.





Sekilas Kata:

Kewujudan pelbagai alat teknologi moden dan terkini telah membantu bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih maju dan moden. Hakikatnya, bahasa tersebut mampu memanfaatkan alat teknologi moden untuk kelangsungan hidup dan menghasilkan masyarakat yang maju.

Nilai Kesopanan dalam Peribahasa

Ceritera 13

Peribahasa dicipta secara analogi berdasarkan objek semula jadi yang wujud di sekeliling masyarakat Melayu seperti unsur alam, tumbuhan, haiwan, lautan dan sebagainya.  Peribahasa menjadi alat untuk masyarakat Melayu lama mangamalkan nilai kesopanan sebagai gambaran bahawa mereka mementingkan nilai itu dalam kehidupan. Misalnya, peribahasa 'orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa' menggambarkan masyarakat Melayu lama menganjurkan orang yang menerima (budi atau kebaikan) menikmati pemberian tersebut dan amat wajar membalas pemberian itu sebagai tanda terima kasih kepada pemberi. Sekiranya penerima tidak mengucapkan terima kasih dan melupakan pemberian atau budi itu, individu itu dianggap tidak tahu berterima kasih dan tidak bersopan.

Sekilas Kata:

Bahasa Melayu kaya dengan nilai-nilai moral dan nilai murninya. Nilai-nilai boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti melalui peribahasa, puisi dan sebagainya. Nilai-nilai ini bersesuaian dengan nilai dalam Islam yang bersifat universal. Peribahasa dicipta oleh pendukungnya untuk pelbagai fungsi seperti mendidik jiwa dan perlakuan manusia supaya bersopan.

Tuesday 20 March 2012

Bahasa Melayu di Patani

Ceritera 12

Bahasa Melayu di Thailand menjadi bahasa minoriti kerana hanya beberapa tempat sahaja yang menggunakannya. ada beberapa wilayah di sekitar Bangkok yang masih menggunakan bahasa Melayu dalam berkomunikasi sperti Ayuthya, Minburi, Tha'it, Klongneng, Tambon Bangpo dan Kloungluang Pathomthani. Lima wilayah di selatan Thai masih menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa majoriti. Penutur bahasa Melayu di Thailand menggunakan dialek yang berbeza, iaitu dialek Urak Lawoi, Patani dan Satun. Kini, keadaan bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Thai. Masyarakat Melayu generasi baharu di Thailand sudah jarang bertutur dalam bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu kini dalam keadaan yang  tidak kukuh, terutama di kawasan penduduknya majoriti bertutur dalam bahasa Thai.

Sekilas Kata:

Bahasa Melayu di Patani mempunyai peranan dan kedudukan yang terpenting. Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi alat perhubungan, tetapi bahasa ini turut dijadikan bahasa dalam pendidikan. Walaupun Patani bukan negara Melayu di Nusantara, masyarakat Patani masih menjaga identiti mereka sebagai bangsa Melayu yang berbahasa Melayu.

Monday 19 March 2012

Bahasa Melayu di Sri Lanka


Ceritera 11

Sri Lanka terletak di bahagian selatan Tamil Naadu, iaitu di pesisir tenggara India. Terdapat kira-kira 46 ribu orang Melayu di Sri Lanka.Bahasa Melayu yang dituturkan di negara ini ialah bahasa Melayu Sri Lanka, iaitu sejenis bahasa kreol. Bahasa kreol ialah bahasa baharu yang berkembang akibat daripada hubungan lama antara dua atau lebih bahasa. Bahasa utama dan bahasa rasmi Sri Lanka ialah bahasa Singhala. Bahasa Inggeris juga digunakan terutama dalam industri pelancongan dan sektor perdagangan. Banyak perkataan Melayu kini sudah diserapkan ke dalam bahasa Singhala. Bahasa itu sebenarnya meminjam sebilangan besar perkataan daripada bahasa lain, termasuk bahasa Sanskrit, bahasa Tamil dan bahasa Melayu. Antara perkataan bahasa Melayu yang digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Sri Lanka ialah dodol, rambutn, durian, kaaka (kakak), kaavan (kawan), kuuve (kuih), baapa (bapa) dan maalu (malu). Sebutan perkataan tersebut agak berbeza daripada sebutan bakunya. Hal ini demikian kerana berlaku pengaruh bahasa tempatan. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu Sri Lanka kini diancam kepupusan dan telah mengalami kemerosotan sejak 200 tahun yang lalu. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu faktor perkahwinan, pendidikan dan sebagainya.

Sekilas Kata:

Bahasa Melayu masih wujud di Sri Lanka. Namun begitu, kehadirannya tergugat kerana sudah kurang orang yang mampu menuturkan bahasa Melayu ini. Kesannya, kedudukan bahasa Melayu di negara ini semakin tidak kukuh dan mengalami kemerosotan. Oleh itu, kerjasama serantau dengan negara yang menuturkan bahasa itu sangat diperlukan untuk mengatasi fenomena kepupusan ini. Dengan adanya kerjasama serantau dan penglibatan badan bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, dapatlah bahasa Melayu dipelihara di negara tersebut.

Friday 16 March 2012

Bahasa Rahsia

Ceritera 10


siapa yang selalu menggunakan bahasa rahsia?
Biasanya bahasa rahsia ini digunakan dalam perisikan, pengedaran dadah dan sebagainya. Walaupun saya bukan tergolong dalam kategori tersebut, saya sebagai orang awam biasa juga ada menggunakan bahasa rahsia ini. Bahasa rahsia yang saya gunakan hanya difahami oleh rakan-rakan yang turut sama menggunakan bahasa rahsia ini juga. Bahasa rahsia ini hanya rekaan sendiri untuk mengelak daripada diketahui oleh orang lain dan bahasa ini bersifat peribadi. Antara bahasa rahsia yang saya gunakan ialah:-

Dufulifu kafamifi sefelafalufu cafakapfak bafahafasafa camfamnifi



Maksudnya: Dulu  kami selalu cakap bahasa macam ini.

Ketika zaman saya kanak-kanak, kakak saya selalu mengajar saya bercakap bahasa rahsia yang ada sedikit bunyi seakan-akan bahasa Rusia.


Sasyasa maskansan rotisi pasgisi tasdisi.

Maknanya:

Saya makan roti pagi tadi.

apakata anda pula mencuba bahasa rahsia ini...

nas as mas sas as yas bas ras las yas as nas




Sekilas Kata:

Bahasa rahsia sangat unik dan sangat sulit sifatnya kerana bahasa ini hanya difahami oleh orang tertentu sahaja. Rekaan ungkapan bahasa rahsia ini menggambarkan kreativiti penuturnya. Bahasa ini sememangnya sengaja dibuat sedemikian supaya kerahsiaan sesuatu hal dapat dilindungi.


Thursday 15 March 2012

Bahasa Slanga


Ceritera 9

Bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh sekelompok masyarakat tertentu dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Bahasa ini biasanya digunakan oleh golongan remaja. Bahasa slanga ini juga sering berubah dan tidak statik. Sesuatu ungkapan atau perkataan akan diberi makna baharu oleh golongan remaja ini. Misalnya, awek, cun, balak, pakwe,sekodeng dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga ini merupakan fenomena yang telah lama berlaku. Pengalaman ketika saya berada di sekolah menengah, penggunaan bahasa slanga ini telahpun  digunakan. Misalnya, penggunaan perkataan kencing (menipu), jiwang (perlakuan sentimental), jambu (cantik) dan lain-lain. Namun, perkataan sebegitu sudah kurang digunakan kerana sudah ada ungkapan baharu yang digunakan seperti kantoi (gagal), apa celop (apa cerita), bro (abang), merempit (lumba haram), sangap (ikut nafsu), tog (kawan) dan sebagainya.



Sekilas Kata:

Penggunaan bahasa slanga yang meluas begitu memberi kesan dalam penulisan dan pertuturan murid di sekolah. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang dalam penggunaannya mendatangkan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan lambakan bahan picisan seperti komik yang mengandungi unsur bahasa slanga. Jika kita menerima kebiasaan penggunaan bahasa slanga dalam alam realiti, maka akan lenyaplah bahasa Melayu yang gramatis dan murni. Penggunaan bahasa slanga yang berleluasa kini akan menyebabkan bahasa Melayu yang asal akan terhakis sedikit demi sedikit. Hal ini juga akan mengakibatkan bahasa asal sesuatu bahasa juga akan hilang seri dan keindahannya.



Wednesday 14 March 2012

Kekanda Adinda


Ceritera 8

Ketika aku sedang sibuk mencari tajuk untuk penyelidikan, aku terdengar lagu yang cukup romantis, iaitu Kekanda Adinda nyanyian Monoloque dan Atilia. Lagu ini sangat menarik dan alunan muziknya juga cukup rancak dan tidak membosankan. Lirik lagu ini juga memaparkan kehidupan berumah tangga yang harmoni dan penuh kesetiaan.


Sekilas Kata:

Dalam kehidupan berumah tangga, suami isteri hendaklah mengamalkan sifat saling menyayangi, berkasih sayang, setia dan percaya kepada pasangan masing-masing. Setiap pasangan juga cubalah untuk menggunakan kata panggilan yang manja untuk pasangannya seperti abang, kekanda, adinda, sayang dan sebagainya. Kata panggilan sebegini akan memberi kesan sentimen yang tersendiri kepada pasangan anda. Amalan ini akan menerbitkan perkahwinan yang sentiasa berbunga-bunga wangi, harmoni dan bahagia. 

Tuesday 13 March 2012

Bahasa Istana


Ceritera 7

Laras bahasa istana ialah bahasa diraja yang digunakan secara khusus apabila melibatkan keluarga diraja. Bahasa diraja adalah berbeza dengan bahasa orang kebanyakan, yang diucapkan dalam kalangan mereka. Bahasa ini merupakan bahasa yang halus penggunaannya. Ungkapan-ungkapan diraja terbahagi kepada dua kategori, iaitu rutin bahasa dan perbendaharaan kata leksis. Rutin bahasa ialah ungkapan yang kekal dari segi bentuk dan penggunaannya dalam konteks tertentu, khususnya dalam memberikan penghormatan, memulakan sembah atau menyatakan perasaan terima kasih dan lain-lain. Perbendaharaan kata leksis pula ialah perbendaharaan kata yang mempunyai makna denotasi (makna kamus) dan makna konotasi (makna tersirat).


Sekilas kata:

Seseorang individu hendaklah mengetahui dan memahami laras bahasa istana. Hal ini demikian kerana bahasa istana ini hanya boleh digunakan apabila berhubung dengan kerabat diraja sahaja. Penggunaannya tidak boleh diguna sewenang-wenangnya. Bahasa istana ini juga sangat penting untuk diketahui terutama dalam protokol majlis yang melibatkan jemputan keluarga diraja. Penggunaan bahasa istana ini hendaklah digunakan secara tepat.